TANGGUNGJAWAB PAPA : MENANAM URI
Kebanyakan kita tidak memandang berat tentang kepentingan uri kepada janin ketika dalam kandungan. Pada saat kelahiran bayi, ibu-bapa serta saudara-mara merasa gembira menyambutnya, tetapi seakan melupakan satu perkara iaitu uri yang telah menemani bayi tersebut. Uri tidak mendapat tempat yang sewajarnya dan tidak penting di saat kegembiraan itu, malah ada yang terus melupakannya.
Terdapat segelintir suami yang tidak mahu mengambilnya lalu pihak hospital atau klinik mengumpul uri-uri tersebut untuk diberikan / didermakan kepada syarikat swasta. Uri tersebut diproses bagi memperolehi hormon-hormon yang terkandung di dalamnya. Hormon inilah yang banyak digunakan dalam alat-alat kecantikan dan solekan.
Terdapat juga ibu-bapa yang terus membuangnya ke dalam tong sampah. Ada pula yang membiarkannya busuk atau diberikan kepada anjing.
Namun, sekiranya kita faham tentang peranan dan tugas yang dilakukan oleh uri sepanjang tempoh pembesaran bayi dalam kandungan, kita pasti tidak sampai hati untuk mensia-siakannya.
Uri merupakan teman karib bayi dalam kandungan. Uri memainkan peranan penting dalam membekalkan makanan dan oksigen serta membuang kumuhan atau sisa-sia daripada tubuh bayi seperti karbon dioksida dan sebagainya.
Kebiasaan orang tua pada masa lalu, uri akan ditanam. Mereka membalutnya dengan kain dan mencari tempat yang sesuai untuk menanamnya kerana khuatir akan digali binatang (anjing). Ia merupakan satu adab yang baik kerana ia seakan menghargai kepentingannya.