TANGGUNGJAWAB PAPA : AQIQAH

Sebagai tanda mensyukuri kelahiran anak, agama Islam menganjurkan kepada kita untuk mengadakan kenduri kesyukuran (aqiqah). Hukum melaksanakan aqiqah adalah sunat muakkad ( menghampiri wajib ). Perlu diingatkan, dengan perlaksanaan aqiqah ini akan menjadikan anak dapat memberikan pembelaan ( syafaat ) kepada orang tuanya pada hari kiamat.

Sabda Rasullah S.A.W bermaksud;

" Seorang anak terikat dengan aqiqahnya yang disembelih pada hari ketujuh, dan dicukur serta diberi nama "

Riwayat Ahmad dan Tarmizi

Aqiqah bererti rambut di kepala bayi yang baru dilahirkan. Aqiqah juga bermaksud pertolongan. Manakala pengertian Aqiqah dalam syariat adalah memotong kambing atau biri-biri untuk bayi yang baru dilahirkan.

Perkara yang perlu diketahui tentang Aqiqah.

1.    Ia dilakukan sebaiknya anak berumur tujuh hari. Namun jika tidak dapat dilaksanakan, lakukan pada hari ke empat belas ataupun ke dua puluh satu. Sekiranya masih tidak mampu dilaksanakan pada hari tersebut, aqiqah masih boleh dilakukan pada hari-hari lain yang memungkinkan untuk melakukannya.

2.    Untuk seorang anak lelaki, aqiqahnya adalah DUA ekor kambing. Manakala untuk anak perempuan, aqiqahnya adalah SEEKOR kambing sahaja. Kambing tersebut tidak kisah sama ada jantan atau betina.

3.    Syarat umur haiwan yang dipilih untuk perlaksanaan aqiqah adalah seperti berikut :

        i.    Unta berumur 5 tahun dan masuk tahun ke 6.

        ii.    Lembu atau kerbau berumur 2 tahun dan masuk tahun ke 3.

        iii.    Kambing atau biri-biri, berumur 2 tahun atau telah bersalin gigi.

        iv.    Kibash, berumur 1 tahun atau bersalin gigi.

4.    Haiwan yang dipilih pastikan tiada sebarang kecacatan.

5.    Daging sembelihan Aqiqah tersebut disunatkan disedekahkan setelah dimasak iaitu masakan yang sedikit manis dan tidak pedas.

6.    Ketika hendak memotong daging, tulang TIDAK BOLEH dipecahkan. Potong mengikut sendinya.

7.    Ketika menyembelih Aqiqah, sebut nama anak yang baru lahir.  Rasullah S.A.W bersabda;

"Sembelihlah atas namanya. Ertinya diniatkan atas nama bayi dengan mengucapkan nama Allah "

Ketika hendak menyembelih, bacakan ayat di bawah dengan maksud ;

"Dengan nama Allah, Ya Allah Ya Tuhanku, bagi Mu dan kepada Mu aqiqah anak ini ........( sebutkan nama anak yang diaqiqahkan ). "

8.    Sebelum dilakukan penyembelihan aqiqah, terlebih dahulu lakukan pencukuran rambut bayi. Rambutnya ditimbang dengan perak dan nilainya disedekahkan kepada fakir miskin.